D/A MASJID DARUL HIDAYAH
LOT 2976 BLOCK 26 KLD JALAN ABG TEK,
TANJUNG KIDURONG 97000 BINTULU
NO TEL: 086-253968 / 014-6638091

19 December 2008

Contoh Kertas Kerja Penubuhan ITB

KERTASKERJA PENUBUHAN INSTITUT TAHFIZ BINTULU


1.0 Latarbelakang kedatangan Islam di Sarawak

1.1 Kajian geologi yang telah dijalankan di beberapa tempat di Sarawak khususnya di kawasan Santubong telah menunjukkan bahawa bangsa Melayu Sarawak telah datang ke Sarawak dari Sumatera dan Pulau Jawa . (Encyclopedia of Sarawak History, Ohio University Library).
1.2 Iaitu semasa Kerajaan Sri Vijaya di Sumatera dan Majapahit di Jawa dan agama yang mereka anuti adalah Buddha dan Hindu.
1.3 Para sejarawan sukar menentukan tarikh sebenar bilakah Islam telah datang ke Negeri Sarawak namun yang pasti adalah ianya tidak dapat dipisahkan dengan kedatangan Islam di
Brunei kerana Sarawak merupakan tanah jajahan Brunei.(Dr. Salbiah Osman.1991.134).
1.4 Kerajaan Brunei telah diasaskan oleh Awang Alak Betatar dan beliau telah memeluk agama Islam pada tahun 1370M.(Hj. Awang Jamil et.al1971:5-12) atau dalam catatan lain pada tahun 1476M(Dr. Md. Amin Hj Abd Rahman: Sejarah Perkembangan Islam di Sarawak sebelum merdeka,2003).
1.5 Catatan sejarah menganggarkan bahawa Islam telah sampai ke Sarawak pada pertengahan kurun ke 15 M. (Hj. Buyong Adil.1974.10)

2.0 Latarbelakang Monumen dan Pendidikan Agama

2.1 Masjid tertua di Sarawak telah dibina sebelum tahun 1840 di Pengkalan Batu.
2.2 Masjid rasmi telah didirikan pada tahun 1852 yang dikenali sebagai Masjid Besar Sarawak.
2.3 Sarawak tidak mempunyai tradisi pengajian pondok seperti di Semenanjung atau pasentren di Indonesia (Prof. Madya Idris Zakaria. 2003.297).
2.4 Semasa pemerintahan Brooke, sebuah sekolah telah didirikan untuk anak-anak Melayu diberi nama Sekolah Kampung Jawa. (Sarawak Gazette. Aug 1970.156).
2.5 Dalam tahun 1893, Sekolah Kampung Gersik pula ditubuhkan untuk menampung sambutan orang ramai terhadap Sekolah Kampung Jawa.
2.6 Pada tahun 1899, muncul sekolah yang diberi nama The School for the Study of Mohamedan Theology di Sibu yang mengajar al-Qur’an, tulisan jawi dan kira-kira.
2.7 Madrasah Al-Murshidiyah telah diasaskan pada tahun 1917 dan kemudiannya telah ditukar nama menjadi Madrasah Islamiyyah.
2.8 Madrasah ini menggunakan teks Arab dan kebanyakan para alim dari Sarawak telah belajar di madrasah ini.
2.9 Madrasah ini walaupun masih wujud sehingga ke hari ini tetapi kurang mendapat sambutan dari masyarakat . (Prof. Dr. Muda @ Ismail Ab. Rahman et. al, Peranan Ulama Sarawak dalam Perkembangan Pendidikan Islam di Srawak. ms 525).
2.10 Pada tahun 1986, bilangan sekolah-sekoah Agama rakyat di Sarawak berjumlah 30 buah. (Prof. Dr. Muda @ Ismail Ab. Rahman et. al, Peranan Ulama Sarawak dalam Perkembangan Pendidikan Islam di Sarawak. ms 531).

3.0 Ulama-ulama dari Negeri Sarawak

3.1 Ulama yang pertama merintis jalan menghubungkan Sarawak dengan Mekah adalah Datu Hakim Abang Haji Abdul Rahman (1829-1890M) yang juga dikenali sebagai Datu Hakim Keramat.
3.2 Anak angkat beliau merupakan ulama yang paling ternama di negeri Sarawak iaitu Syeikh Othman Abd Wahab(1863-1921M) yang juga dikenali sebagai Syeikh Othman Sarawak. Beliau telah dihantar oleh Datu Hakim Keramat untuk menuntut ilmu di Mekah dan menjadi imam di Masjidil Haram.
3.3 Selain Syeikh Othman yang merupakan anak angkat Hakim Datu Keramat, beliau juga telah menghantar dua orang anaknya sendiri untuk belajar di Mekah. Mereka adalah Muhamad Ash’ari dan Muhamad Zahari.
3.4 Anak murid Syeikh Othman adalah Tuan Hakim Abang Morshidi bin Abang Nurruddin (1877-1939). Beliau adalah pelopor pendidikan formal dengan penubuhan Madrasah al-Murshidiyah(kemudiannya Madrasah Islamiah) pada tahun 1917.
3.5 Melalui madrasah ini, Tuan Hakim Abang Morsidi telah melahirkan ramai orang alim di Sarawak.




4.0 Keperluan Menubuhkan Sebuah Pusat Tahfiz

Insititut Tahfiz Bintulu(I.T.B) ditubuhkan oleh Masjid Darul Hidayah, Tanjung Kidurong, Bintulu dengan kerjasama Pertubuhan Jamaah ISLAH Malaysia (JIM), Daerah Bintulu.

Objektif penubuhan adalah seperti berikut:-

• Sebagai rintisan usaha untuk melahirkan generasi ulama keluaran tempatan Negeri Sarawak.
• Untuk melahirkan ramai ulama-ulama bertaraf pakar rujuk yang boleh dijadikan sumber rujukan dalam jurusan ilmu-ilmu Islam.
• Untuk meramaikan bilangan ulama yang boleh menjadi qudwah hasanah serta mampu menyampaikan ilmu Islam yang shahih yang akan ditugaskan kawasan pedalaman dan bandar di negeri Sarawak
• Memastikan kelangsungan aqidah Islam khususnya di kalangan generasi baru umat Islam negeri Sarawak dari ancaman gejala riddah dan penyelewangan aqidah.

5.0 Struktur Organisasi

Untuk merealisasikan cita-cita ini, Masjid Darul Hidayah telah mengadakan kerjasamasa dengan Pertubuhan Jamaah ISLAH Malaysia (JIM) Daerah Bintulu yang bertindak selaku Jawatankuasa Kerja sementara Masjid Darul Hidayah sendiri adalah sebagai Lembaga Pengarah.

Skop kerja bagi Masjid Darul Hidayah selaku Lembaga Pengarah I.T.B ini adalah seperti berikut:-

• Menyediakan tapak di kawasan Masjid Darul Hidayah bagi tujuan pembinaan I.T.B.
• Memberi garis panduan umum kepada Jawatankuasa Kerja berhubung halatuju I.T.B.
• Bertindak sebagai badan pemantau untuk memastikan I.T.B beroperasi mengikut jadual yang disasarkan.
• Memantau perjalanan operasi untuk memastikan I.T.B sentiasa ditadbir urus selari dengan matlamat asal yang telah ditetapkan.
• Mempastikan I.T.B dikendalikan dengan mematuhi sepenuhnya undang-undang serta peraturan-peraturan Negeri Sarawak.
• Mempastikan kelangsungan dan kemajuan I.T.B dan tidak mati ditengah jalan.

Skop kerja untuk JIM Daerah Bintulu selaku Jawatankuasa Kerja adalah seperti berikut:-

• Mencari penderma serta mengumpul dana bagi tujuan pembinaan bangunan I.T.B.
• Bertanggungjawab terhadap pembinaan dan penyelenggaraan bangunan.
• Menyediakan sukatan pelajaran yang sesuai demi untuk melahirkan para huffaz yang berkualiti.
• Mendapatkan Mudir dan para ustaz yang berketerampilan yang akan menjadi ‘acuan’ kepada para huffaz yang dihasilkan.
• Mempromosi I.T.B bagi tujuan mendapatkan pelajar dan dana yang beterusan.
• Mengembangkan dan memajukan I.T.B dari semasa ke semasa dari segi frasarana dan juga kursus-kursus yang ditawarkan.
• Menyediakan tadbir urus yang cemerlang dari segi pengurusan kewangan, tenaga pengajar, murid dan bangunan.

Strukur organisasi untuk Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Kerja adalah sepertimana di Lampiran 1.

6.0 Bangunan

Dalam rangka untuk melahirkan para huffaz sepertimana yang dihajati, sebuah bangunan diperlukan bagi tujuan pembelajaran dan penginapan murid dan guru.

Pada masa ini, Masjid Darul Hidayah memiliki dua unit rumah berkembar untuk kegunaan pegawai-pegawai Masjid. . Penginapan Mudir boleh diselesaikan dengan ruang rumah yang sedia ada.Sementara untuk tujuan penginapan murid dan guru yang masih bujang, mereka boleh tinggal di bangunan I.T.B.

Lokasi bangunan ini adalah bersebelahan rumah berkembar untuk Imam 1. Pelan bagi bangunan ITB adalah seperti di Lampiran 2.

Sebuah syarikat Kontraktor binaan iaitu AikinMas Sdn. Bhd. telah bermurah hati untuk mendirikan bangunan ini. Skop kerja melibatkan rekabentuk kejuruteraan dan sehinggalah ke penyiapan pembinaan bangunan . Pembinaan telah bermula pada bulan Mac 2008 dan dijangka siap dalam bulan November 2008.

Keseluruhan kos pembinaan bangunan ini telah ditanggung oleh individu perihatin yang berkongsi hasrat untuk melihat tertubuhnya sebuah pusat Tahfiz di Sarawak. Anggaran kos pembinaan adalah sebanyak RM400,355.78. Sila lihat pecahan kos di Lampiran 3 dan gambar-gambar pembinaan bangunan adalah sepertimana di Lampiran 4.


7.0 Kelengkapan Bangunan

Bagi menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif di samping memberikan sedikit keselesaan kepada guru dan murid, I.T.B perlu disediakan dengan kelengkapan sepertimana yang tersenarai di lampiran. Kesemua kelengkapan ini akan diperolehi melalui sumbangan orang ramai. Sila rujuk Lampiran 5.


8.0 Sukatan Pelajaran

Sukatan pelajaran bagi I.T.B adalah dengan mengikuti sukatan pelajaran bagi Maahad Tahfiz Ummul Qurra yang beralamat di Kampung Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar, 45100 Sabak Bernam, Selangor Darul Ehsan.

Walau bagaimanapun tambahan dibuat untuk subjek-subjek akademik asas yang difikirkan perlu untuk pembelajaran seimbang.

Perincian sukatan pelajaran adalah seperti di Lampiran 6.

9.0 Tenaga Pengajar

Pengambilan tenaga pengajar akan dibuat pada bulan Oktober 2008. Iklan akan dibuat melalui akhbar dan surat pekeliling ke setiap masjid dan surau di Negeri Sarawak.

Mudir yang akan dilantik adalah seorang hafiz dan ustaz yang telah tamat dalam pengajian melalui kaedah madrasah/pondok dengan sekurang-kurangnya 7 tahun pengalaman dalam mengendalikan madrasah. Guru-guru pembantu juga dikehendaki mempunyai kelulusan yang serupa tetapi pengalaman hanya 1 hingga 3 tahun sahaja.

10.0 Pelajar-pelajar

Pelajar-pelajar sepenuh masa akan memulakan pengajian pada 3 Januari 2009. Iklan untuk pengambilan pelajar-pelajar sepenuh masa akan dibuat pada bulan Oktober 2008. Keutamaan akan diberikan kepada pelajar Sarawak yang berumur 13 tahun ke atas. Pengambilan hanya terhad kepada 20 orang pelajar sahaja.

11.0 Kos Operasi

Jumlah kos operasi bulanan adalah seperti berikut:-



Jenis Kos (Sebulan) Kiraan Jumlah
Kos Guru RM1,400.00 + 1,000.00 + 1,000.00 RM3,400.00
Makanan RM10.00 seorang x 30 hari x 23 orang RM6,900.00
Letrik dan Air RM700.00 + RM300.00 RM1,000.00
Tukang Masak RM500.00 seorang RM500.00
Jumlah RM11,800.00

12.0 Pembiayaan

Sumber-sumber untuk pembiayaan adalah seperti berikut:-

Jenis Pendapatan (Sebulan) Kiraan Jumlah
Sumbangan Murid RM150.00 x 20 orang RM3,000.00
Tabung Masjid RM500.00 x 4 minggu RM2,000.00
Derma & zakat melalui potong gaji/bank 50 orang x RM100.00 RM5,000.00
Derma Syarikat 3 syarikat x RM1,000.00 RM3,000.00
Jumlah RM13,000.00


13.0 Penutup

Penubuhan Insitutut Tahfiz ini adalah yang pertama di Bintulu dan di antara yang terawal juga di Negeri Sarawak. Ianya adalah sangat penting kepada masyarakat Islam Bintulu khususnya dan Sarawak amnya dalam rangka untuk memastikan agar Islam di Sarawak dapat disebarkan dan difahami dengan betul justeru memastikan agar ianya terus bertapak di bumi Sarawak.

Walau bagaimanapun, usaha yang tidak sedikit diperlukan untuk memastikan agar dana yang mencukupi sentiasa diterima setiap bulan agar projek ini tidak akan mati sekerat jalan.

Usaha yang gigih diperlukan untuk mengembeling kerjasama di kalangan warga masjid agar projek ini akan berkekalan dan mampu mencapai matlamatnya.


1 comment: