D/A MASJID DARUL HIDAYAH
LOT 2976 BLOCK 26 KLD JALAN ABG TEK,
TANJUNG KIDURONG 97000 BINTULU
NO TEL: 086-253968 / 014-6638091

19 December 2008

Kelas Tahfiz Separuh Masa

Kelas Tahfiz Separuh Masa telah bermula pada Disember 2007. Sementara menunggu bangunan ITB siap, kelas ini diadakan di Tadika Brilliant Kindy bersebelahan Masjid Darul Hidayah.

Gambar kelas separuh masa : ---


Gambar Bangunan ITB

Gambar Bangunan ITB yang telah siap pada November 2008.Kelas akan bermula pada
Januari 2009.






Contoh Peraturan Asrama

INSTITUT TAHFIZ BINTULU


PERATURAN ASRAMA DAN KELAS


1.0 TEMPOH PENYESUAIAN DIRI

Setiap pelajar dikehendaki menduduki tempoh penyesuaian diri dengan kehidupan asrama dan personaliti/persekitaran ITB selama 30 hari bermula dari tarikh melaporkan diri. Dalam tempoh ini, ibu-bapa tidak dibenarkan melawat anak di asrama atau di kelas kecuali atas sebab-sebab kecemasan dan sebab-sebab lain yang akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pengurusan ITB. Tujuan tempoh penyesuaian diri adalah supaya anak-anak mahu pun ibu-bapa memahami dengan lebih jelas pra-syarat yang perlu ada sebelum anak-anak berjaya menjadi seorang hafiz Al-Quran sebagaimana yang dicita-citakan.

2.0 KELUAR MASUK ASRAMA

2.1 Setiap pelajar dikehendaki mengisi Buku Keluar-Masuk Asrama masing-masing setiap kali meninggalkan asrama atau ruang kawasan Masjid Darul Hidayah untuk urusan persendirian. Ibu-bapa perlu memastikan kelulusan dan kebenaran sewajarnya telah diperoleh daripada Ustaz/Warden/Jawatankuasa Pengurusan sebelum membawa anak keluar daripada asrama untuk urusan selain daripada urusan rasmi ITB.

2.2 Sekiranya terdapat perkara kecemasan yang tidak dapat dielakkan, permohonan untuk bercuti atas sebab-sebab tersebut perlu dibuat dan diluluskan oleh Ustaz atau Ahli Jemaah Pengurusan menggunakan borang yang disediakan di asrama.

3.0 PERHUBUNGAN TELEFON IBU-BAPA DENGAN ANAK DAN SEBALIKNYA

3.1 Bagi memudahkan perhubungan ibu-bapa dengan anak-anak masing-masing dan sebaliknya, pihak I.T.B menyediakan telefon di asrama dengan nombornya ialah __________. Ibu-bapa boleh membuat panggilan telefon pada waktu-waktu yang sesuai seperti selepas waktu ‘Asar pada hari-hari biasa atau selepas jam 9.00 pagi pada hari-hari Sabtu dan Ahad. Kerjasama ibu-bapa dipohon agar menggunakan masa dan tempoh yang sesuai dalam menelefon anak-anak agar tidak mengganggu penumpuan hafalan dan pembelajaran anak-anak.

3.2 Masa untuk melawat anak perlu dipilih dengan bijaksana agar tidak mengganggu tumpuan hafalan dan pembelajaran mereka. Waktu ziarah yang disyorkan ialah pada petang hari Sabtu dan Ahad.

4.0 BARANGAN DITEGAH DIBAWA KE ASRAMA

4.1 Setiap pelajar dilarang:

4.1.1 Menyimpan pisau dan barangan tajam yang lain;
4.1.2 Membaca dan menyimpan buku-buku lucah atau komik-
komik yang mempunyai lukisan atau bahan bacaan yang
tidak senonoh;
4.1.3 Mengguna dan menyimpan radio, perakam kaset, vcd dan
seumpama ;
4.1.4 Menyimpan telefon bimbit dan barang-barang berharga yang
lain.
4.1.5 Menyimpan atau menggunakan perkara-perkara yang
mengkhayalkan atau menyebabkan ketagihan, ini termasuk, gam, dadah, rokok dan sebagainya.

4.2 Sekiranya pelajar didapati melakukan kesalahan seperti yang disebut dalam perkara 4.1 di atas, hukuman sewajarnya akan dikenakan.


5.0 PAKAIAN

5.1 Pakaian rasmi ialah jubah warna putih dan kopiah/serban warna
putih.

5.2 Memandangkan sebahagian besar masa pelajar adalah memakai jubah rasmi, pelajar dibenarkan memakai baju-T tanpa kolar berwarna putih kosong (plain) sebagai pakaian dalam untuk dijadikan persalinan di waktu yang sesuai semasa berada dalam jadual rasmi harian. Dicadangkan ibu-bapa membekalkan tiga (3) helai baju berkenaan.

5.2 Bagi waktu di luar jadual rasmi, pelajar boleh memakai sebarang pakaian lain asalkan menutup aurat dan tidak mempunyai sebarang tulisan/gambar/imej yang tidak sopan. Walau bagaimana pun, jumlah pakaian yang dibekalkan kepada anak-anak hendaklah tidak terlalu banyak [tiga(3) pasang adalah memadai].

5.3 Setiap pakaian hendaklah dibuat jahitan nama pelajar bagi mengelakkan kekeliruan dengan pakaian pelajar lain.

6.0 DUIT POKET

6.1 Pelajar hanya dibenarkan menyimpan duit sebanyak RM10.00 (Ringgit Sepuluh sahaja) pada satu-satu masa. Ibu-bapa boleh menyimpan duit dengan Ustaz dan anak-anak boleh mengambilnya daripada Ustaz berkenaan apabila diperlukan.

6.2 I.T.B. tidak bertanggungjawab di atas kehilangan duit yang berpunca daripada kecuaian pelajar dan ketidakpatuhan ke atas perkara (i) di atas.


7.0 BERGADUH/MEMBULI DAN PENGGUNAAN BAHASA/ISTILAH YANG TIDAK ISLAMIK

7.1 Setiap pelajar dilarang sama sekali daripada bergaduh dan membuli antara satu sama lain, selaras dengan maksud firman Allah dalam surah Al-Hujurat:11 yang bermaksud:” Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kaum laki-laki menghinakan kaum laki-laki (yang lain), kerana boleh jadi kaum yang dihinakan itu lebih baik dari kaum yang menghinakan, dan jangan pula kaum perempuan (menghinakan) kaum perempuan (yang lain), kerana boleh jadi perempuan yang dihinakan itu, lebih baik dari perempuan yang menghinakan. Janganlah kamu cela-mencela sesama kamu dan jangan pula panggil memanggil dengan gelaran (yang tidak baik). Seburuk-buruk nama ialah fasik sesudah keimanan. Barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang aniaya“. Sifat menyayangi dan persaudaraan sesama pelajar adalah menjadi teras kehidupan harian I.T.B.

7.2 Setiap pelajar dilarang sama sekali mengguna bahasa/ungkapan/istilah lucah yang tidak menggambarkan ciri-ciri seorang Mukmin dan pelajar Tahfiz.

8.0. KECURIAN

8.1 Segala bentuk kecurian biar sekecil mana pun adalah dilarang sama sekali.

8.2 Sekiranya pelajar didapati melakukan kesalahan seperti di perenggan (i) di atas, hukuman sewajarnya akan dikenakan.

9.0 RAMBUT

Pelajar perlu berambut pendek dan kemas pada setiap masa. Rambut pendek dan kemas memberi banyak kebaikan kepada peribadi pelajar dan mengurangkan pembaziran masa mengemas diri masing-masing.


10.0 MEROSAKKAN BARANG-BARANG KAWAN/HARTA AWAM (VANDALISME)

i. Pelajar perlu menahan diri daripada merosakkan barang-barang kawan atau harta awam. Sekiranya kesalahan ini didapati/di bukti berlaku, ibu-bapa pelajar perlu memberi ganti rugi sewajarnya kepada pihak berkaitan.

ii. Sekiranya pelajar didapati melakukan kesalahan seperti di perenggan (i) di atas, hukuman sewajarnya akan dikenakan.


11.0 HAK DAN KUASA PENGURUSAN INSTITUT TAHFIZ BINTULU /USTAZ/WARDEN/GURU AKADEMIK

11.1 Bagi memelihara dan menguatkuasakan peraturan dan disiplin pelajar I.T.B. sama ada semasa atau di luar waktu belajar rasmi, Pengurusan I.T.B. telah memberi kuasa kepada Ustaz-Ustaz dan Warden untuk menggunakan pendekatan dan kaedah yang sesuai mengikut budi bicaranya termasuk merotan ke atas pelajar-pelajar yang didapati melakukan kesalahan atau melanggar disiplin Maahad ini.

11.2 Manakala bagi kelas hafalan Al-Quran dan kelas akademik, kuasa ini diberikan kepada Ustaz-Ustaz dan guru-guru akademik masing-masing.

12.0 CUTI SEKOLAH

12.1 Cuti di ITB adalah dari 27 Shaaban (3 hari sebelum bulan Ramadhan) sehingga 15 Syawal.

12.2 Hari Sabtu dan Ahad tidak dikira sebagai hari cuti kerana pada pada hari-hari tersebut akan diadakan tuisyen dan aktiviti dakwah. Walaubagaimana pun, ibu-bapa boleh membawa anak-anak keluar asrama pada hari-hari tersebut selepas waktu Zohor.


13.0 JADUAL WAKTU BELAJAR

13.1 Jadual waktu belajar harian dari hari Isnin sehingga Jumaat adalah seperti berikut:-

Masa Aktiviti
4:00 pagi – 4:30 pagi Bangun tidur
4:30 pagi – 5.15 pagi Membaca pelajaran baru
5:15 pagi – 5:45 pagi Solat fardhu Subuh
5:45 pagi - 7:00 pagi Mentasmikkan pelajaran baru
7:00 pagi -8:00 pagi Rehat dan sarapan pagi
8:00 pagi –11:00 pagi Mengulang Para Sabaq
11:00 pagi -11:30 pagi Fardu Ain/Tajwid/Adab/Muqtasar Hadith
11:30pagi-1:00 pagi Rehat/Zohor/Makan tengahari
1:00 ptg – 3:45 ptg Mengulang amokhtah
3:45 ptg – 4:15 ptg Solat fardhu Asar
4.15 ptg – 4:45 ptg Kisasul Anbiya’/Hayatus Sahabah
5.15 ptg - 6.30 ptg Rehat riadah dan makan malam
6.30 mlm - 7.00 mlm Solat fardhu Maghrib
7.00 mlm – 7:45 mlm Menghafal Sabaq
7.45 mlm - 8.15 mlm Solat fardhu Isyak
8.15 mlm - 9.15 mlm Ulangan Amokhtah(persendirian)
9:15 mlm – 9:45 mlm Rehat minum teh dan makan ringan
9:45 mlm - 4.00 pagi Lampu dipadam ,tidur dan Tahajjud
Jadual Harian dari Isnin hingga Jumaat

13.2 Jadual waktu belajar harian dari hari Isnin sehingga Sabtu dan Ahad adalah seperti berikut:-

Masa Aktiviti
4:00 pagi – 4:30 pagi Bangun tidur
4:30 pagi – 5.15 pagi Mengulang Para Sabaq (Persendirian)
5:15 pagi – 5:45 pagi Solat fardhu Subuh
5:45 pagi - 7:00 pagi Bebas
7:00 pagi -8:00 pagi Rehat dan sarapan pagi
8:00 pagi –10:00 pagi Tuisyen Matematik/B.M/B.I
10:00 pagi -10:30 pagi Rehat
10:30pagi- 12:30 pagi Tuisyen Matematik/B.M/B.I
12:30 ptg.-2:00 ptg Rehat/Zohor/Makan tengahari
2:00 ptg – 4:00 ptg Tuisyen Matematik/B.M/B.I
4.15 ptg – 4:45 ptg Solat Asar /Persendirian dan bebas
4:45-ptg - 9:45 mlm Persendirian dan Bebas
9:45 mlm - 4.00 pagi Lampu dipadam ,tidur dan Tahajjud
Jadual Harian dari Sabtu dan Ahad



14.0 BATASAN

12.1 Walau apa pun tafsiran sebaliknya, tujuan Peraturan ini tiada lain kecuali untuk menyediakan pelajar I.T.B menjadi hafiz Al-Quran yang berhikmah, berdisiplin tinggi dan berperibadi mulia agar menjadi contoh teladan kepada anggota masyarakat yang lain.

12.2 Peraturan ini boleh dipinda dari semasa ke semasa oleh Pengurusan Institut Tahfiz Bintulu.

15.0 RUJUKAN DI MASA KECEMASAN

i. Sekiranya ibu-bapa memerlukan bantuan dan pertanyaan berhubung anak masing-masing atau hal-hal berkaitan I.T.B ini, bolehlah menghubungi pegawai-pegawai berikut:

a. Tuan Haji Mohamad Yacop b Mohamad Junit
Pengerusi
Telefon : 086-252253/019-8147962

b. Encik Faiz bin Sahri
Timbalan Pengerusi
Telefon : 012-3896900

c. Puan Nurzahirah bt. M. Sukeran
Setiausaha
Telefon : 016-2256444

d. Encik Iskandariah Roslan b Abd. Wahab
Ahli Jawatankuasa
Telefon : 012-8773778

e. Encik Taib b Taha
Ahli Jawatankuasa
Telefon : 019-8641618

f. Hazia’ah bt. Sahari
Ahli Jawatankuasa
Telefon : 019-8147963

g. Norazah bt. Sulaiman
Ahli Jawatankuasa
Telefon : 012-8841267

h. Nuzaiti bt. Hamdan
Ahli Jawatankuasa
Telefon : 013-5707717




Rintisan Usaha Ke arah Melahirkan ulamak Keluaran Negeri Sarawak



Kemaskini terakhir : 26 November 2008

Contoh Kertas Kerja Penubuhan ITB

KERTASKERJA PENUBUHAN INSTITUT TAHFIZ BINTULU


1.0 Latarbelakang kedatangan Islam di Sarawak

1.1 Kajian geologi yang telah dijalankan di beberapa tempat di Sarawak khususnya di kawasan Santubong telah menunjukkan bahawa bangsa Melayu Sarawak telah datang ke Sarawak dari Sumatera dan Pulau Jawa . (Encyclopedia of Sarawak History, Ohio University Library).
1.2 Iaitu semasa Kerajaan Sri Vijaya di Sumatera dan Majapahit di Jawa dan agama yang mereka anuti adalah Buddha dan Hindu.
1.3 Para sejarawan sukar menentukan tarikh sebenar bilakah Islam telah datang ke Negeri Sarawak namun yang pasti adalah ianya tidak dapat dipisahkan dengan kedatangan Islam di
Brunei kerana Sarawak merupakan tanah jajahan Brunei.(Dr. Salbiah Osman.1991.134).
1.4 Kerajaan Brunei telah diasaskan oleh Awang Alak Betatar dan beliau telah memeluk agama Islam pada tahun 1370M.(Hj. Awang Jamil et.al1971:5-12) atau dalam catatan lain pada tahun 1476M(Dr. Md. Amin Hj Abd Rahman: Sejarah Perkembangan Islam di Sarawak sebelum merdeka,2003).
1.5 Catatan sejarah menganggarkan bahawa Islam telah sampai ke Sarawak pada pertengahan kurun ke 15 M. (Hj. Buyong Adil.1974.10)

2.0 Latarbelakang Monumen dan Pendidikan Agama

2.1 Masjid tertua di Sarawak telah dibina sebelum tahun 1840 di Pengkalan Batu.
2.2 Masjid rasmi telah didirikan pada tahun 1852 yang dikenali sebagai Masjid Besar Sarawak.
2.3 Sarawak tidak mempunyai tradisi pengajian pondok seperti di Semenanjung atau pasentren di Indonesia (Prof. Madya Idris Zakaria. 2003.297).
2.4 Semasa pemerintahan Brooke, sebuah sekolah telah didirikan untuk anak-anak Melayu diberi nama Sekolah Kampung Jawa. (Sarawak Gazette. Aug 1970.156).
2.5 Dalam tahun 1893, Sekolah Kampung Gersik pula ditubuhkan untuk menampung sambutan orang ramai terhadap Sekolah Kampung Jawa.
2.6 Pada tahun 1899, muncul sekolah yang diberi nama The School for the Study of Mohamedan Theology di Sibu yang mengajar al-Qur’an, tulisan jawi dan kira-kira.
2.7 Madrasah Al-Murshidiyah telah diasaskan pada tahun 1917 dan kemudiannya telah ditukar nama menjadi Madrasah Islamiyyah.
2.8 Madrasah ini menggunakan teks Arab dan kebanyakan para alim dari Sarawak telah belajar di madrasah ini.
2.9 Madrasah ini walaupun masih wujud sehingga ke hari ini tetapi kurang mendapat sambutan dari masyarakat . (Prof. Dr. Muda @ Ismail Ab. Rahman et. al, Peranan Ulama Sarawak dalam Perkembangan Pendidikan Islam di Srawak. ms 525).
2.10 Pada tahun 1986, bilangan sekolah-sekoah Agama rakyat di Sarawak berjumlah 30 buah. (Prof. Dr. Muda @ Ismail Ab. Rahman et. al, Peranan Ulama Sarawak dalam Perkembangan Pendidikan Islam di Sarawak. ms 531).

3.0 Ulama-ulama dari Negeri Sarawak

3.1 Ulama yang pertama merintis jalan menghubungkan Sarawak dengan Mekah adalah Datu Hakim Abang Haji Abdul Rahman (1829-1890M) yang juga dikenali sebagai Datu Hakim Keramat.
3.2 Anak angkat beliau merupakan ulama yang paling ternama di negeri Sarawak iaitu Syeikh Othman Abd Wahab(1863-1921M) yang juga dikenali sebagai Syeikh Othman Sarawak. Beliau telah dihantar oleh Datu Hakim Keramat untuk menuntut ilmu di Mekah dan menjadi imam di Masjidil Haram.
3.3 Selain Syeikh Othman yang merupakan anak angkat Hakim Datu Keramat, beliau juga telah menghantar dua orang anaknya sendiri untuk belajar di Mekah. Mereka adalah Muhamad Ash’ari dan Muhamad Zahari.
3.4 Anak murid Syeikh Othman adalah Tuan Hakim Abang Morshidi bin Abang Nurruddin (1877-1939). Beliau adalah pelopor pendidikan formal dengan penubuhan Madrasah al-Murshidiyah(kemudiannya Madrasah Islamiah) pada tahun 1917.
3.5 Melalui madrasah ini, Tuan Hakim Abang Morsidi telah melahirkan ramai orang alim di Sarawak.




4.0 Keperluan Menubuhkan Sebuah Pusat Tahfiz

Insititut Tahfiz Bintulu(I.T.B) ditubuhkan oleh Masjid Darul Hidayah, Tanjung Kidurong, Bintulu dengan kerjasama Pertubuhan Jamaah ISLAH Malaysia (JIM), Daerah Bintulu.

Objektif penubuhan adalah seperti berikut:-

• Sebagai rintisan usaha untuk melahirkan generasi ulama keluaran tempatan Negeri Sarawak.
• Untuk melahirkan ramai ulama-ulama bertaraf pakar rujuk yang boleh dijadikan sumber rujukan dalam jurusan ilmu-ilmu Islam.
• Untuk meramaikan bilangan ulama yang boleh menjadi qudwah hasanah serta mampu menyampaikan ilmu Islam yang shahih yang akan ditugaskan kawasan pedalaman dan bandar di negeri Sarawak
• Memastikan kelangsungan aqidah Islam khususnya di kalangan generasi baru umat Islam negeri Sarawak dari ancaman gejala riddah dan penyelewangan aqidah.

5.0 Struktur Organisasi

Untuk merealisasikan cita-cita ini, Masjid Darul Hidayah telah mengadakan kerjasamasa dengan Pertubuhan Jamaah ISLAH Malaysia (JIM) Daerah Bintulu yang bertindak selaku Jawatankuasa Kerja sementara Masjid Darul Hidayah sendiri adalah sebagai Lembaga Pengarah.

Skop kerja bagi Masjid Darul Hidayah selaku Lembaga Pengarah I.T.B ini adalah seperti berikut:-

• Menyediakan tapak di kawasan Masjid Darul Hidayah bagi tujuan pembinaan I.T.B.
• Memberi garis panduan umum kepada Jawatankuasa Kerja berhubung halatuju I.T.B.
• Bertindak sebagai badan pemantau untuk memastikan I.T.B beroperasi mengikut jadual yang disasarkan.
• Memantau perjalanan operasi untuk memastikan I.T.B sentiasa ditadbir urus selari dengan matlamat asal yang telah ditetapkan.
• Mempastikan I.T.B dikendalikan dengan mematuhi sepenuhnya undang-undang serta peraturan-peraturan Negeri Sarawak.
• Mempastikan kelangsungan dan kemajuan I.T.B dan tidak mati ditengah jalan.

Skop kerja untuk JIM Daerah Bintulu selaku Jawatankuasa Kerja adalah seperti berikut:-

• Mencari penderma serta mengumpul dana bagi tujuan pembinaan bangunan I.T.B.
• Bertanggungjawab terhadap pembinaan dan penyelenggaraan bangunan.
• Menyediakan sukatan pelajaran yang sesuai demi untuk melahirkan para huffaz yang berkualiti.
• Mendapatkan Mudir dan para ustaz yang berketerampilan yang akan menjadi ‘acuan’ kepada para huffaz yang dihasilkan.
• Mempromosi I.T.B bagi tujuan mendapatkan pelajar dan dana yang beterusan.
• Mengembangkan dan memajukan I.T.B dari semasa ke semasa dari segi frasarana dan juga kursus-kursus yang ditawarkan.
• Menyediakan tadbir urus yang cemerlang dari segi pengurusan kewangan, tenaga pengajar, murid dan bangunan.

Strukur organisasi untuk Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Kerja adalah sepertimana di Lampiran 1.

6.0 Bangunan

Dalam rangka untuk melahirkan para huffaz sepertimana yang dihajati, sebuah bangunan diperlukan bagi tujuan pembelajaran dan penginapan murid dan guru.

Pada masa ini, Masjid Darul Hidayah memiliki dua unit rumah berkembar untuk kegunaan pegawai-pegawai Masjid. . Penginapan Mudir boleh diselesaikan dengan ruang rumah yang sedia ada.Sementara untuk tujuan penginapan murid dan guru yang masih bujang, mereka boleh tinggal di bangunan I.T.B.

Lokasi bangunan ini adalah bersebelahan rumah berkembar untuk Imam 1. Pelan bagi bangunan ITB adalah seperti di Lampiran 2.

Sebuah syarikat Kontraktor binaan iaitu AikinMas Sdn. Bhd. telah bermurah hati untuk mendirikan bangunan ini. Skop kerja melibatkan rekabentuk kejuruteraan dan sehinggalah ke penyiapan pembinaan bangunan . Pembinaan telah bermula pada bulan Mac 2008 dan dijangka siap dalam bulan November 2008.

Keseluruhan kos pembinaan bangunan ini telah ditanggung oleh individu perihatin yang berkongsi hasrat untuk melihat tertubuhnya sebuah pusat Tahfiz di Sarawak. Anggaran kos pembinaan adalah sebanyak RM400,355.78. Sila lihat pecahan kos di Lampiran 3 dan gambar-gambar pembinaan bangunan adalah sepertimana di Lampiran 4.


7.0 Kelengkapan Bangunan

Bagi menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif di samping memberikan sedikit keselesaan kepada guru dan murid, I.T.B perlu disediakan dengan kelengkapan sepertimana yang tersenarai di lampiran. Kesemua kelengkapan ini akan diperolehi melalui sumbangan orang ramai. Sila rujuk Lampiran 5.


8.0 Sukatan Pelajaran

Sukatan pelajaran bagi I.T.B adalah dengan mengikuti sukatan pelajaran bagi Maahad Tahfiz Ummul Qurra yang beralamat di Kampung Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar, 45100 Sabak Bernam, Selangor Darul Ehsan.

Walau bagaimanapun tambahan dibuat untuk subjek-subjek akademik asas yang difikirkan perlu untuk pembelajaran seimbang.

Perincian sukatan pelajaran adalah seperti di Lampiran 6.

9.0 Tenaga Pengajar

Pengambilan tenaga pengajar akan dibuat pada bulan Oktober 2008. Iklan akan dibuat melalui akhbar dan surat pekeliling ke setiap masjid dan surau di Negeri Sarawak.

Mudir yang akan dilantik adalah seorang hafiz dan ustaz yang telah tamat dalam pengajian melalui kaedah madrasah/pondok dengan sekurang-kurangnya 7 tahun pengalaman dalam mengendalikan madrasah. Guru-guru pembantu juga dikehendaki mempunyai kelulusan yang serupa tetapi pengalaman hanya 1 hingga 3 tahun sahaja.

10.0 Pelajar-pelajar

Pelajar-pelajar sepenuh masa akan memulakan pengajian pada 3 Januari 2009. Iklan untuk pengambilan pelajar-pelajar sepenuh masa akan dibuat pada bulan Oktober 2008. Keutamaan akan diberikan kepada pelajar Sarawak yang berumur 13 tahun ke atas. Pengambilan hanya terhad kepada 20 orang pelajar sahaja.

11.0 Kos Operasi

Jumlah kos operasi bulanan adalah seperti berikut:-



Jenis Kos (Sebulan) Kiraan Jumlah
Kos Guru RM1,400.00 + 1,000.00 + 1,000.00 RM3,400.00
Makanan RM10.00 seorang x 30 hari x 23 orang RM6,900.00
Letrik dan Air RM700.00 + RM300.00 RM1,000.00
Tukang Masak RM500.00 seorang RM500.00
Jumlah RM11,800.00

12.0 Pembiayaan

Sumber-sumber untuk pembiayaan adalah seperti berikut:-

Jenis Pendapatan (Sebulan) Kiraan Jumlah
Sumbangan Murid RM150.00 x 20 orang RM3,000.00
Tabung Masjid RM500.00 x 4 minggu RM2,000.00
Derma & zakat melalui potong gaji/bank 50 orang x RM100.00 RM5,000.00
Derma Syarikat 3 syarikat x RM1,000.00 RM3,000.00
Jumlah RM13,000.00


13.0 Penutup

Penubuhan Insitutut Tahfiz ini adalah yang pertama di Bintulu dan di antara yang terawal juga di Negeri Sarawak. Ianya adalah sangat penting kepada masyarakat Islam Bintulu khususnya dan Sarawak amnya dalam rangka untuk memastikan agar Islam di Sarawak dapat disebarkan dan difahami dengan betul justeru memastikan agar ianya terus bertapak di bumi Sarawak.

Walau bagaimanapun, usaha yang tidak sedikit diperlukan untuk memastikan agar dana yang mencukupi sentiasa diterima setiap bulan agar projek ini tidak akan mati sekerat jalan.

Usaha yang gigih diperlukan untuk mengembeling kerjasama di kalangan warga masjid agar projek ini akan berkekalan dan mampu mencapai matlamatnya.


Contoh Surat Penghargaan Derma

INSTITUT TAHFIZ BINTULU
D/A Masjid Darul Hidayah, Kidurong.
Lot 2976 – Block 26 KLD , Jalan Abang Tek, P O Box 142, Kidurong Post Office,97300 Kidurong, Bintulu, Sarawak.
Tel : 019-8147962
_____________________________________________________________
Rujukan Kami : (102)ITB/1.3 7 November 2008.
29 Zulkaedah 1429H
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif
Faizy Sdn. Bhd.
14, 2nd Floor, Medan Jaya Commercial Centre,
P.O. Box 2204,
97008 BINTULU.


Tuan/puan,

PENGHARGAAN ATAS DERMA

Adalah saya dengan hormatnya merujuk kepada perkara di atas.

Disertakan bersama-sama ini adalah resit dengan nombor 0007 sebagai pengesahan pemberian derma melalui cek MBB no. 744640 bernilai RM1,500.00 untuk kelengkapan di Institut Tahfiz Bintulu(I.T.B)

Semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang sempurna atas usaha kita semua di akhirat nanti. Amin.



Sekian, terima kasih


Yang Benar,


_________________________________________
HAJI MOHAMAD YACOP B MOHAMAD JUNIT
Pengerusi

Contoh Surat Minta Derma


Masjid Darul Hidayah
Lot 2976 – Block 26 KLD , Jalan Abang Tek
P O Box 142, Kidurong Post Office,
97300 Kidurong, Bintulu, Sarawak

________________________________________________________________________

Pengurus,
Bank Mumalat Malaysia Berhad.,
No. 252, Lot 73, Parkcity Commercial Centre,
Phase 4, Jln. Tanjung Batu,
97600 BINTULU.


12 November 2008
Bismilahirrahmanirahim

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh

Tuan,

PERMOHONAN DERMA UNTUK KELENGKAPAN DI INSTITUT TAHFIZ BINTULU (I.T.B)

Adalah kami dengan hormatnya merujuk kepada perkara di atas.

Dalam rangka untuk melahirkan para ilmuan Islam secara tempatan , Masjid Darul Hidayah, Kidurong dengan kerjasama Pertubuhan Jamaah ISLAH Malaysia (JIM) Daerah Bintulu sedang mengusahakan penubuhan sebuah Pusat Tahfiz yang pertama di Bintulu yang juga di antara yang pertama di Negeri Sarawak yang dinamakan Institut Tahfiz Bintulu (I.T.B).

Alhamdulilah pada masa kini, dengan izin Allah SWT. sebuah bangunan bagi maksud ini telah disumbangkan oleh individu Muslim yang perihatin. Gambar bangunan tersebut adalah sepertimana di Lampiran A.

Walau bagaimanapun, bangunan ini masih lagi memerlukan sejumlah wang bagi tujuan pembelian kelengkapan dalaman dan juga peralatan pembelajaran. Anggaran kos bagi kelengkapan ini adalah berjumlah RM111,500.00. Pecahan Kos adalah seperti di Lampiran B.

Kami percaya Bank Muamalat adalah sebuah badan yang mengambil berat terhadap keperluan penduduk Islam tempatan kerana kami yakin ianya ada hubungkait dengan Corporate Social Responsibility maka justeru itu, kami ingin memohon sumbangan sebahagian jika tidak dapat sepenuhnya derma bagi pembelian kelengkapan sepertimana yang disenaraikan.

Harga barangan yang disenaraikan adalah anggaran dan jika terdapat sebarang baki dari sumbangan ini, ianya akan digunakan sepenuhnya bagi kelengkapan I.T.B yang lain atau akan digunakan bagi belanja pengurusan ITB.

Jika bank tuan berhasrat untuk memberikan sumbangan, ianya bolehlah dibuat atas nama INSTITUT TAHFIZ BINTULU.

Besarlah harapan kami agar Bank Muamalat dapat menghulurkan sumbangan sepertimana yang dipohon ini.

Mudah-mudahan usaha kecil kita semua akan diberikan ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Amin.

Sekian, terima kasih


Yang Benar,
MASJID DARUL HIDAYAH



Ir. Abdul Nasser b Abdul Wahab
Pengerusi
Persatuan Warga Darul Hidayah















Contoh Surat Tawaran


INSTITUT TAHFIZ BINTULU
D/A Masjid Darul Hidayah, Kidurong.
Lot 2976 – Block 26 KLD , Jalan Abang Tek, P O Box 142, Kidurong Post Office,97300 Kidurong, Bintulu, Sarawak.
Tel : 019-8147962
_____________________________________________________________
Rujukan Kami : (103)ITB/1.1 27 November 2008.
29 Zulkaedah 1429H

Kepada :

Encik Azhar b. Abdullah



Tuan/puan,

TAWARAN MENGIKUTI KURSUS TAHFIZ AL-QUR’AN
KEMASUKAN TAHUN 2009

Sukacita dimaklumkan bahawa permohnan kemasukan untuk anak tuan/puan Mohamad Jeffrey b. Abdullah untuk belajar di Institut Tahfiz Bintulu telah diluluskan. Sehubungan itu, pendaftaran akan diadakan pada :

Tarikh : 3 Januari 2009 (Sabtu)
Masa : 8:30 pagi – 11:00 pagi
Tempat : Bangunan Institut Tahfiz Bintulu.

Berikut adalah senarai yuran yang perlu dijelaskan sewaktu pendaftaran :

Bil. PERKARA BAYARAN (RM)
1. Yuran Pendaftaran RM100.00
2. Yuran Bulanan (Bulan Pertama ) RM150.00
3. Yuran Takaful RM 5.00
4. Cadar dan Sarung Bantal RM 50.00
Jumlah RM 305.00

Sila bawa bersama salinan sijil berhenti sekolah dan sijil UPSR semasa pendaftaran.
Disertakan bersama-sama ini adalah Peraturan Asrama dan Kelas Institut Tahfiz Bintulu untuk rujukan tuan/puan.

Jika sekiranya tuan/puan menerima tawaran ini, sila kembalikan surat jawapan sebelum 15hb Disember 2008 atau makluman melalui telefon.

Sekian, terima kasih


Yang Benar,


_________________________________________
HAJI MOHAMAD YACOP B MOHAMAD JUNIT
Pengerusi































Pengerusi,
Institut Tahfiz Bintulu
D/A Masjid Darul Hidayah, Kidurong.
Lot 2976 – Block 26 KLD , Jalan Abang Tek,
P O Box 142, Kidurong Post Office,
97300 Kidurong, Bintulu, Sarawak



Tuan,

TAWARAN MENGIKUTI KURSUS TAHFIZ AL-QUR’AN
KEMASUKAN TAHUN 2009

Adalah saya dengan hormatnya merujuk kepada surat tuan bil(103)ITB/1.1 bertarikh 27 November 2008.

Dengan ini saya mengesahkan bahawa saya * BERSETUJU untuk menerima tawaran ini dan bersedia untuk mematuhi Peraturan Asrama dan Kelas Institut Tahfiz Bintulu / * TIDAK BERSETUJU untuk menerima tawaran ini.

Sekian, terima kasih



_____________________________________________________
(Nama ibu/bapa/penjaga : )

Tarikh :















* Sila potong mana-mana yang tidak berkenaan